KUANTAN - Guru pondok maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 242.1 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Ahmad Faaiz Dzulkefli, 23, beralamat di Felda Chini 2, Pekan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan terlibat dalam perjalanan dari arah Jabor menghala ke arah Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai bergerak di lorong kecemasan melakukan kerja mengutip kon selepas selesai kerja menukar besi penghadang jalan.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dari arah belakang gagal mengelak lalu terlanggar belakang lori berkenaan sebelum tercampak jatuh ke lorong kiri," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang bertugas di Pondok Darul Saadah, Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.