Mesyuarat khas PRK DUN Ayer Kuning 7 Mac depan

Iklan
SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac depan. Foto Bernama

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 7 Mac depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya kawasan berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi DUN tersebut berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemakluman tersebut diterima daripada Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 36 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan tersebut telah berlaku," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning telah diserahkan secara rasmi kepada SPR pagi Jumaat.

Mohammad Zahir berkata, beliau telah menerima pemakluman daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kematian Ishsam.

Iklan

Pada 22 Februari lalu, Ishsam dilapor meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim (Amanah) mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal (Pas) (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).