'Kalau beli di luar susah nak dapat harga murah macam ini'

Iklan
Sebahagian pengunjung yang menyerbu Program Jualan Rahmah Ramadan di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada Jumaat.

KUALA TERENGGANU – Program Jualan Rahmah Ramadan di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini, pada Jumaat mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan harian pada harga lebih rendah lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Ramadan.

Seorang suri rumah, Norshila Omar, 30, dari Kampung Losong Hj Long berkata, dia ke situ untuk mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga diskaun.

Iklan
Iklan

Norshila

Menurutnya, program itu amat membantu golongan suri rumah sepertinya menjelang Ramadan kali ini apabila harga barang di pasaran semakin meningkat.

Iklan

"Bagi saya program Jualan Rahmah Ramadan diadakan sebelum umat Islam berpuasa amat berbaloi kerana semua barangan yang dijual di sini pada harga rendah dan amat berpatutan.

"Kalau nak harapkan kita beli di luar, rasanya susah nak dapat harga seperti ini.

Iklan

Pengunjung beratur seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan rumah sempena program Jualan Rahmah Ramadan di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada Jumaat.

"Saya bersyukur sebab sempat datang ke sini walaupun banyak barang yang sudah habis," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Mukhriz Mohd Zain, 51, berkata, kuantiti bekalan barangan sempena program Jualan Rahmah Ramadan perlu ditambah memandangkan masih ramai yang memerlukan barangan pada harga rendah.

Mohd Mukhriz

"Kita semua tahu ramai yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Sebab itu, jualan dengan tawaran harga rendah ini perlu diteruskan lagi bagi memastikan lebih ramai yang dapat membeli keperluan asas dengan harga lebih jimat.

"Antara barangan yang saya rasa perlu ditambah ialah minyak masak, beras, ayam, telur dan semua yang meliputi keperluaan asas untuk kegunaan isi rumah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, program Jualan Rahmah Ramadan diadakan di beberapa lokasi sebagai inisiatif membantu meringankan bebanan pengguna menjelang sambutan Ramadan.

Sebahagian pengunjung yang mendapatkan bahan mentah sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan.

Katanya, dengan kaedah itu, harga barangan keperluan dapat dikawal dan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan," katanya.