Puasa 19 jam musim panas

Iklan
MASA yang panjang pada waktu siang pada musim panas di United Kingdom digunakan untuk membaca al-Quran dan menikmati keindahan di sekitarnya.

Siang panjang digunakan untuk baca dan hayati al-Quran selain nikmati keindahan United Kingdom

TIDAK dapat dibayangkan apabila terpaksa menjalani ibadah berpuasa selama lebih 19 jam ketika musim panas lebih-lebih lagi di negara orang berbanding di Malaysia yang hanya sekitar 13 jam sahaja.

Bagaimanapun, menahan lapar dan dahaga berpuasa di United Kingdom dan Maghribi dalam tempoh yang panjang itu merupakan pengalaman yang sangat indah buat Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan.

Iklan
Iklan

Memulakan ceritanya itu, beliau bersyukur atas nikmat merasai keperitan dan kesusahan orang yang terpaksa berlapar dalam tempoh yang panjang.

SELEPAS 10 rakaat solat tarawih, Ustaz Mohammad Baihaqi menyampaikan tazkirah sebelum menyambung kembali solat tarawih.

Iklan

"Pada akhirnya ALLAH SWT mahu umat Islam yang menjalani ibadah puasa ini untuk lebih bertakwa kepada-NYA,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus selepas membaca firman-NYA mengenai puasa:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Iklan

Dari Maghribi ke United Kingdom

Menceritakan lanjut, Ustaz Mohammad Baihaqi menjelaskan, pengalaman berpuasa ketika di Maghribi pada tahun pertamanya belajar di Universiti Mohammed Al-Khamis, Rabat pada 2011 itu banyak dipenuhi dengan kuliah pengajian walaupun cuaca di sana panas.

"Uniknya di Maghribi, walaupun cuaca panas, masyarakat di sana tidak menggunakan kipas atau pendingin hawa memandangkan mereka masih berpegang angin yang dijana daripadanya boleh membahayakan kesihatan,” katanya.

Pada tahun kedua di universiti, beliau yang merupakan seorang hafiz al-Quran lepasan Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan itu kemudiannya berhubung dengan beberapa pusat Islam di United Kingdom (UK) untuk menjadi imam tarawih di sana.

"Akhirnya impian saya untuk menjadi imam di UK selama sebulan terlaksana apabila Masjid Canterbury menawarkan tempat selepas berjaya melalui proses temuduga.

"Suasana antara Maghribi dan UK tidak banyak berbeza kerana kedua-duanya negara empat musim yang mana siang pada musim panasnya lebih panjang berbanding malam,” jelasnya.

"Solat Isyak dan tarawih bermula pada pukul 10 malam dan berakhir pada pukul 12 tengah malam.

"Selepas selesai ibadah solat tarawih, hanya ada masa sekitar dua jam untuk bersahur sebelum waktu Subuh menjelang kira-kira pukul 2 pagi,” katanya.

USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI (duduk dua dari kiri) bersama rakyat Malaysia yang beraya di Masjid Canterbury.

Kebiasaannya beliau tidak akan tidur sebelum bersahur dan selesai solat Subuh memandangkan masa singkat serta mula melelapkan mata dan rehat selepas itu.

"Selepas cukup rehat, saya mengisi masa yang panjang pada siang hari itu dengan murajaah al-Quran dan persiapan untuk menjadi imam pada malamnya pula.

Walaupun berpuasa selama lebih 19 jam, katanya, cuaca panasnya hanya sekitar 23 darjah Celcius.

"Tidaklah terlalu panas bagi kita yang sudah biasa dengan iklim khatulistiwa. Namun bagi penduduk di sana, suhu sebegitu sangat panas hingga boleh terkena strok haba,” katanya.

Penghayatan al-Quran tinggi

Mengulas mengenai komuniti Islam di UK, kepelbagaian bangsa dan warna kulit dapat dilihat di sana namun mereka sangat menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran ketika solat tarawih.

RAMADAN tahun lalu, Masjid Canterbury turut menjemput pimpinan agama lain untuk menjamu selera ketika umat Islam berbuka puasa. Foto FACEBOOK CANTERBURY MOSQUE

"Mereka lebih suka jika bacaan al-Quran dibaca panjang semasa solat hingga imam boleh menyelesaikan satu juz atau lebih pada setiap kali selesai solat tarawih.

"Selepas itu, jemaah akan duduk berbual mesra sesama mereka sementara menunggu masa untuk bersahur,” katanya.

Oleh itu pesannya, usahakanlah menggandakan ibadah pada bulan Ramadan ini dengan menghayati bacaan al-Quran dan bukan sekadar membaca tanpa memahaminya.

"Mengkhatamkan al-Quran pada Ramadan itu bagus, namun lebih baik sekiranya kita memahami apa yang dibaca.

"Kita boleh mula membaca terjemahan al-Quran dalam usaha untuk memahami apa yang ingin ALLAH SWT sampaikan,” jelasnya.