HULU SELANGOR - Perjalanan pulang seorang lelaki dari tempat kerja berakhir tragedi setelah terbabit dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Jenjarum, Bukit Sentosa di sini pada Khamis.
Mangsa merupakan pekerja kilang berumur 46 tahun itu menunggang sebuah motosikal dirempuh sebuah kereta sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan lain dalam kejadian terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta melintas secara tiba-tiba di hadapan mangsa.
"Situasi itu menyebabkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan raya.
"Ketika mangsa terjatuh, mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah motosikal lain yang datang dari arah sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun pemandu kereta serta penunggang sebuah lagi motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 011-33293547," katanya.