IPOH - Polis Perak telah bersedia memastikan tempoh berkempen dan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjalan lancar.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjaga keamanan dan kestabilan kawasan berkenaan.
Menurut beliau, penugasan anggota akan disusun termasuk Unit Tempur Ringan (LSF) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
"Kita akan lihat templat sama dengan PRU15 sebelum ini seperti penamaan calon, undian, pusat daerah mengundi (PDM) dan lain-lain.
"Kita juga akan lihat dari sudut keselamatan melibatkan lalu lintas dan ketenteraman awam, kita akan menggerakkan LSF dan kita akan mohon bantuan daripada FRU mungkin semasa penamaan calon atau mengundi nanti.
"Ia bukan menunjukkan suasana tidak aman sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Kita tunggu saja (tarikh) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada pemberita di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Senior Asisten Komisoner kepada Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Perak, Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi.
Beliau juga menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak antara Senior Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dengan Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Sungai Siput, jawatan Ketua Polis Daerah dipangku Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail dan Deputi Superintenden Mohd Rohaizimi Razali bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohd Naim Asnawi dan Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.