SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menyasarkan penyertaan seramai 5,000 ahli dan 100 tokoh wanita sempena program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) tahun ini.
Pengarah Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan JPW, Muhamad Azalan Shah Ahmad berkata, ia susulan pemberian inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025 yang memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta bagi program tersebut.
"Menerusi peruntukan berkenaan, kementerian telah meningkatkan sasaran untuk memilih 100 tokoh wanita seluruh negara, masing-masing akan menerima sehingga RM50,000 untuk program mereka dan turut menyasarkan 5,000 peserta secara keseluruhan.
"Permohonan Perantis 2025 akan dibuka mulai Khamis ini iaitu 27 Februari hingga 26 Mac. Kali ini kita buka tempoh penyertaan lebih lama berbanding sebelum ini.
"Melabur dalam Perantis, kementerian meletakkan asas dan mewujudkan persekitaran untuk masa depan di mana wanita memimpin dengan kekuatan, daya tahan serta inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Apresiasi Kepimpinan Skuad Ekspresi Hati Insan Wanita (Sehati Wanita) di sebuah hotel pada Isnin.
Hadir sama Tokoh Perantis, Dr Norisham Abd Ghani dan Pemimpin Perantis, Nor Anita Abdullah.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian vest Sehati Wanita dan sijil penyertaan kepada peserta, serta pengumuman tiga kumpulan terbaik daripada sepuluh kumpulan yang ada.
Menurut Muhamad Azalan Shah, penganjuran program Sehati Wanita diharap dapat melahirkan tokoh wanita yang cakna dan peka terhadap isu atau permasalahan yang berlaku di persekitaran mereka.
Ulas beliau, secara langsung membantu golongan wanita yang terkesan dari segi emosi dan pemikiran apabila mendepani konflik mereka.
"Peserta Perantis juga diharapkan dapat mendalami pendidikan psikososial dan menjadi pemangkin perubahan positif terhadap diri, keluarga, rakan serta masyarakat setempat yang berisiko mengalami gangguan emosi.
"Matlamat utama Perantis adalah untuk memastikan wanita diperkasakan dan bersedia sepenuhnya untuk mengambil peranan kepimpinan merentas semua sektor,” ujarnya.