PATI – Seorang remaja Indonesia yang sebelum ini tular kerana mencuri pisang untuk menyara adiknya kini menerima bantuan daripada pelbagai pihak, lapor detik.com.
Tindakan bijak pihak polis dalam menangani kes ini turut mendapat pujian masyarakat.
Menurut kenyataan rasmi dari Polresta Pati, pelbagai elemen masyarakat menghargai usaha pihak berkuasa yang bukan sahaja menyelesaikan kes ini dengan berhemah, tetapi turut membantu remaja berkenaan dan adiknya.
Difahamkan, remaja tersebut mencuri pisang kerana kesempitan hidup selepas kehilangan ibu tujuh tahun lalu, sementara bapanya pula menghilangkan diri. Dia dan adiknya kini tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Trangkil, Pati.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Balai Tlogowungu dan seluruh anggota polis yang telah menangani kes ini dengan baik serta membantu adik kami,” kata Ketua RT (Rukun Tetangga) tempatan, Kasimin, dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wakil Badan Permusyawaratan Desa (BPD), Arif Rahman, turut menzahirkan penghargaan kepada polis kerana memberikan bantuan pendidikan kepada remaja itu dan adiknya.
Datuk kepada remaja berkenaan turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada cucunya.
Bantuan diterima daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penduduk setempat serta parti politik yang menyumbangkan bantuan kewangan serta barangan keperluan kepada remaja tersebut.
"Kami bukan sahaja memberikan bantuan material, tetapi juga bimbingan dan sokongan moral agar dia dapat membina masa depan yang lebih cerah,” kata Ketua DPD PSI Pati, Hadi Sutrisno.
Sebelum ini, satu video tular memaparkan remaja berkenaan diarak penduduk selepas ditangkap mencuri pisang di Desa Gunungsari, Kecamatan Tlogowungu pada 17 Februari lalu.
Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, Polsek Tlogowungu mengambil pendekatan Restorative Justice atau keadilan jenayah dengan tidak mendakwa remaja tersebut.
Sebaliknya, Ketua Polis Balai Tlogowungu, AKP Mujahid, atas arahan Ketua Polis Pati, memutuskan untuk menjadikan remaja itu dan adiknya sebagai anak angkat mereka. - Agensi