Kilang proses minyak sawit diserbu, rampasan bernilai RM1.64 juta

Iklan
Dalam operasi bersepadu itu, pasukan merampas sebanyak 11,200 liter minyak masak yang belum diproses

JOHOR BAHRU - Sebuah kilang yang dipercayai memproses minyak sawit tidak berlesen di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Op Taring Landai ini dilakukan hasil maklumat Unit Risik Marin dengan kolaborasi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen memproses minyak sawit terpakai dan kotor.

Iklan

"Dalam operasi bersepadu itu, pasukan merampas sebanyak 11,200 liter minyak masak yang belum diproses dan 35 tan Palm Oil Mil Effluent (POME)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, dalam serbuan itu barangan seperti enam square tank, dua tangki besi 40 tan, 36 tong besi 200 liter, dua lori, sebuah lori tangki, tujuh pam minyak enjin dan masing-masing satu unit set boiler, pam elektrik, pam compressor serta mesin pemprosesan biodiesel turut dirampas

Iklan

Menurutnya, kesemua rampasan peralatan bagi kegiatan memproses minyak sawit itu serta lori tersebut dianggarkan bernilai lebih RM1.64 juta.

Katanya, tangkapan dan kesemua barang-barang rampasan diserahkan kepada MPOB untuk tindakan lanjut.

"Siasatan dijalankan oleh pihak MPOB di bawah Peraturan 5, satu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan MPOB (Pelesenan) 2005.

"Polis Johor terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang negara dan boleh mencemarkan alam sekitar sekiranya tiadapenyeliaan rapi," ujarnya.