KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 13 pegawai kanannya berkuat kuasa 7 April.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah memaklumkan pertukaran itu antaranya melibatkan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Normah Ishak pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner.
"Turut bertukar Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman SAC Saifullizan Ishak yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat DCP," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Penolong Pengarah E8A Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azman Abd Razak pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Ketua Cawangan Khas Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Faizal Ibrahim dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Selangor manakala Timbalan Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuantan Pahang, Asisten Komisioner Nasri Mansor dilantik sebagai Ketua Staf Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command, Kementerian Dalam Negeri.
"Kedua-dua mereka memangku pangkat Senior Asisten Komisioner," katanya.
Kamaruzaman berkata, pertukaran lain melibatkan Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Superintenden Alhusin Halil dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah dengan memangku pangkat Asisten Komisioner. - Bernama