MAIK tetapkan kadar zakat fitrah RM8 di Kelantan

Iklan
MAIK menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM8. Gambar hiasan (Gambar kecil: Tengku Mohamad Rizam)

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM8.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kadar tersebut telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, umat Islam yang ingin membayar zakat fitrah pada kadar RM14 atau RM21 berdasarkan harga beras yang dimakan adalah digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, selain itu MAIK turut menetapkan kadar nisab zakat harta bagi tahun ini sebanyak RM29,376 bagi haul antara Ramadan tahun ini hingga tahun hadapan.

Iklan

Tengku Mohamad Rizam memberitahu, pembayaran zakat boleh dilakukan di Kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my.

Beliau turut mengajak umat Islam di Kelantan untuk menghidupkan Ramadan dengan amalan soleh serta menunaikan kewajipan berzakat.

Iklan

"Semoga dengan pembayaran zakat ini, kita dapat membantu golongan yang memerlukan dan meningkatkan keberkatan dalam kehidupan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mewakili MAIK turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam.