Karya Bestari, Betty Rahmad rai kedatangan Ramadan

Iklan
Dari kiri: Asni, Nora, Betty dan Erma Fatima semasa program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SHAH ALAM - Menjelang beberapa hari memasuki Ramadan, anak syarikat Kumpulan Karangkraf iaitu Karya Bestari menganjurkan program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ dengan kolaborasi bersama pelakon, Betty Rahmad.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, objektif utama program berkenaan adalah untuk meraikan Ramadan yang bakal tiba, di samping menambahkan ilmu dan merapatkan ukhuwah sesama masyarakat Islam.

Iklan
Iklan
Firdaus Hussamuddin. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Menurutnya, program itu melibatkan kira-kira 200 peserta, termasuk artis terkenal tanah air dan pempengaruh bagi menyebar luas tentang indahnya hijab dan keistimewaan Ramadan supaya menjadi muslimah sejati.

"Sebelum ini, Karya Bestari ada juga bekerjasama dengan artis dan individu terkenal lain tapi bukan di peringkat besar macam ni. Bersama Betty, kita ada taja buku agama dan al-Quran sebagai salah satu usaha untuk meramaikan lagi orang untuk membaca al-Quran.

Iklan

"Bagaimanapun, program pada hari ini, kita lebih fokus kepada merapatkan ukhuwah dan menyiapkan diri ke arah Ramadan. Disebabkan itu kita jemput juga penceramah agama untuk memberikan tazkirah dan pencerahan yang lebih supaya peserta kita dapat mempersiapkan diri menjadi muslimah sejati,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Penganjur dan peserta program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Program itu turut menampilkan dua penceramah agama terkenal iaitu Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Asni Mansor serta selebriti seperti Datuk Nora Ariffin, Erma Fatima, Nora Danish dan Intan Ladyana.

Iklan

Sementara itu, Betty ketika ditemui menjelaskan rasa gembiranya dapat bekerjasama sekali lagi dengan Karya Bestari.

Betty Rahmad. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Jelasnya, Karya Bestari banyak bekerjasama dengannya dalam menyebar luaskan al-Quran dengan sumbangan buku agama dan al-Quran sejak dua tahun lalu.

"Betty buat kelas tadabbur al-Quran ini sudah dua tahun. Sebelum ini, kami sudah dua kali berkolaborasi dan sepanjang itu, Karya Bestari banyak beri sokongan dengan menyumbangkan al-Quran dan buku-buku agama.

Antara peserta yang menyertai program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Kali ini, kami nak buat kelainan dengan ajak bersama pengikut untuk turut serta. Itu yang memang Betty idamkan dan doa selama ini sebab selalunya Betty buat di rumah sahaja.

"Walaupun tidak dapat jemput semua pengikut, Betty gembira kerana dapat berjumpa dengan 200 orang yang menyertai program ini. Lebih bermakna, kami dapat berkongsi ilmu agama bersama agamawan” jelasnya.