Video promosi VM2026 dikemaskini setiap tiga bulan - King Sing

Iklan
King Sing (tiga dari kiri) bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga dari kanan) ketika hadir Majlis Pelancaran Video Promosi VM2026 di Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) akan dikemaskini setiap tiga bulan agar lebih banyak produk dan destinasi pelancongan dapat diketengahkan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah tersebut merupakan usaha berterusan kementerian bagi memastikan daya saing sektor pelancongan negara selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelancong antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Saya minta pihak produksi dan Tourism Malaysia teruskan penglibatan dan kerjasama dengan semua negeri selepas ini dan masa akan datang.

"Langkah ini penting agar video promosi dapat dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memastikan ia relevan dengan tarikan pelancongan terkini di seluruh negara.

Iklan
Beruang matahari yang menjadi maskot VM2026, Wira dan Manja turut kelihatan di Majlis Pelancaran Video Promosi VM2026 di Kuala Lumpur pada Rabu.

"Saya juga mengalu-alukan kerjasama rakan media serta penggiat industri untuk membantu menyebar luas video promosi ini di platform masing-masing," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Video Promosi VM2026, di sini pada Rabu.

Video promosi VM2026 berdurasi 35 minit itu menampilkan keunikan semua negeri di Malaysia melibatkan destinasi menarik, promosi budaya serta makanan tradisional tempatan.

Iklan

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua pihak agar usaha tersebut tidak dipolitikkan, tetapi memberi cadangan membina serta tunjuk ajar dalam usaha membantu memperkasakan industri pelancongan negara.

Menurutnya, rakyat Malaysia seharusnya bekerjasama memastikan sektor pelancongan terus berkembang, menarik lebih ramai pelancong serta membawa limpahan ekonomi berterusan.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama menjadi duta pelancongan, memastikan setiap pelancong yang datang ke Malaysia membawa pulang pengalaman indah serta berkongsi keunikan negara kita dengan dunia," ujarnya.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut memaklumkan, terdapat lima video promosi khas telah dihasilkan mengikut lima wilayah utama iaitu wilayah tengah, utara, timur, selatan Semenanjung Malaysia serta Borneo (Sabah dan Sarawak).

Beliau menjelaskan, setiap video berdurasi kira-kira 10 minit dan memberi fokus kepada tarikan unik di setiap negeri dalam wilayah terlibat.

"Usaha penerbitan video promosi ini merupakan antara aktiviti dalam perancangan pelaksanaan kempen VM2026.

"Bahan promosi ini akan digunakan secara meluas di pelbagai platform termasuk media digital, media sosial dan siaran elektronik peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.