KHARTOUM (Sudan) - Sebuah pesawat tentera Sudan mengalami nahas lewat Selasa ketika berlepas dari Pangkalan Udara Wadi Seidna di Omdurman, barat ibu negara Khartoum, mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan anggota tentera serta orang awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Satu daripada pesawat kami mengalami nahas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Wadi Seidna malam ini, menyebabkan beberapa anggota tentera dan orang awam terkorban serta cedera,” kata Angkatan Tentera Sudan dalam satu kenyataan.
Menurut tentera, pasukan kecemasan telah membawa mangsa yang cedera untuk mendapatkan rawatan perubatan, manakala pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran di lokasi kejadian.
Jawatankuasa Penentangan Karari, sebuah kumpulan aktivis tempatan di Omdurman, dalam kenyataan ringkas mengesahkan bahawa"beberapa mayat dan individu yang cedera telah dipindahkan ke Hospital Pendidikan Al-Naw susulan nahas pesawat tentera itu.”
Pengguna media sosial Sudan turut berkongsi rakaman bangkai pesawat yang terbakar.
Tiada maklumat lanjut mengenai jenis pesawat, jumlah korban atau punca nahas yang dilaporkan setakat ini.
Sejak pertengahan April 2023, tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berperang, menyebabkan lebih 20,000 kematian dan 14 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa tempatan.
Namun, penyelidikan daripada universiti di Amerika Syarikat menganggarkan angka korban mencecah sekitar 130,000 orang. - Bernama