PUSAT beli-belah Alamanda Putrajaya kini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden dan mesra komuniti selepas melalui proses penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.
Transformasi yang dilakukan bukan sahaja melibatkan aspek reka bentuk dalaman, malah turut merangkumi kemudahan dan penambahan ruang interaktif bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Datuk Ir Ts Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, Alamanda kini bukan sekadar pusat beli-belah tetapi merupakan simbol pembangunan mampan yang memperkayakan komuniti setempat.
"Alamanda yang baharu juga merupakan simbol evolusi Putrajaya sebagai sebuah bandar yang mengimbangi keperluan ekonomi, sosial, dan kelestarian alam sekitar.
"Dengan reka bentuk yang lebih moden, ruang yang lebih mesra komuniti dan kemudahan yang lebih lengkap, Alamanda akan menjadi pusat aktiviti yang lebih dinamik untuk warga Putrajaya dan kawasan sekitar," katanya pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di Putrajaya pada Ahad.
Perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Putrajaya Holdings, Datuk Kamil Khalid Ariff dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan.
Mengulas lanjut, Izwan Hasli berkata, projek penaiktarafan Alamanda yang melibatkan ruang lantai lebih daripada 200,000 kaki persegi dan bermula pada pertengahan 2023, merupakan projek pengubahsuaian terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Putrajaya Holdings sejak Alamanda dibuka pada 2004.
Tambahnya, antara tarikan baharu di Alamanda ialah arena boling dan panggung wayang yang lebih besar serta pertambahan jumlah kedai daripada 42 kepada 59.
"Kami juga memperkenalkan tarikan baharu, iaitu taman cabaran Escape Putrajaya, yang akan menambahkan lagi daya tarikan bandar Putrajaya kepada komuniti setempat serta para pelancong," katanya.
Selain menjadi pusat komersial utama, beliau berharap Alamanda dapat menjadi destinasi gaya hidup yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga, golongan profesional, serta pelancong domestik dan antarabangsa.
Dikendalikan oleh Suria KLCC Sdn Bhd, Alamanda Putrajaya telah melalui proses transformasi besar-besaran dengan pelaburan sebanyak RM100 juta oleh Putrajaya Holdings Berhad.
Pembangunan semula itu yang bermula pada 20 Jun 2023, menandakan pengubahsuaian utama pertama sejak pusat beli-belah ini dibuka pada 2004.
Dengan konsep 'Easy Vibrant Shopping', Alamanda kini menawarkan pengalaman membeli-belah dan rekreasi yang lebih moden, luas serta selesa untuk pengunjung.
Salah satu tarikan utama dalam transformasi ini ialah Escape Putrajaya, sebuah taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi di Esplanade, hasil kerjasama dengan Sim Leisure Group Ltd. Dibina bagi menggabungkan elemen alam semula jadi dan cabaran sukan lasak, Escape Putrajaya menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang sesuai untuk seisi keluarga dan rakan-rakan.