MYDIN Mohamed Holding Berhad (Mydin) jenama yang tidak asing lagi di Malaysia dan tidak dinafikan, rangkaian pasar raya itu menjadi pilihan ribuan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana (M40) untuk mendapatkan barangan keperluan harian sejak puluhan tahun.
Meneruskan legasi perniagaan keluarga, sosok tubuh ini sering tampil di akhbar dan media elektronik dengan perkongsian pandangan mengenai perniagaan serta pengalaman hidupnya kepada usahawan yang mahu berjinak dalam dunia perniagaan.
Bukan sahaja berkongsi ilmu, malah beliau sering melontarkan idea yang secara tidak langsung memberi impak kepada masyarakat.
Seiring perkembangan teknologi masa kini, beliau turut dilihat aktif tampil di platform sosial TikTok sebagai usaha untuk menambat hati rakyat Malaysia. Menjelang Ramadan dan Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi, pasar raya ini semestinya telah merangka pelbagai promosi, program dan aktiviti menarik bagi memeriahkan sambutan bulan mulia itu.
Ikuti wawancara khas wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pemilik Mydin, DATUK AMEER ALI MYDIN bagi mengetahui tawaran terkini pasar raya gergasi itu.
SINAR HARIAN: Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, boleh Datuk kongsikan program menarik yang disediakan Mydin khusus kepada pengunjung di seluruh negara.
AMEER: Pada Ramadan tahun ini, pasar raya Mydin menyediakan pelbagai jenis kurma termasuk yang menjadi permintaan ramai iaitu Tunisia. Selain itu ada juga Medjool dan sebagainya yang ditawarkan pada harga berpatutan.
Kami bukan hanya sediakan kurma dalam saiz kecil, malah ada kotak besar 10 kilogram (kg) khusus kepada individu atau syarikat yang berhasrat untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada pekerja atau tetamu.
Selain itu kami juga ada menawarkan pelbagai jenis pilihan pakaian khusus untuk raya seperti baju Melayu, baju kurung, samping, butang baju dan sebagainya dengan harga yang berpatutan serta sesuai untuk seisi keluarga. Ada juga pakaian sepadan untuk ahli keluarga yang mahu corak dan warna sama.
Mydin sentiasa mengikuti permintaan semasa, ada yang nak pakaian sedondon ayah dengan anak, ibu dan adik beradik. Jadi suka untuk saya sarankan kepada semua, lakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri lebih awal supaya ada banyak pilihan dan saiz yang sesuai.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengikuti laman media sosial untuk membuat perbandingan harga dan kualiti yang ditawarkan oleh pihak lain. Bandingkan harga yang ditawarkan.
Apakah program atau kempen yang akan diperkenalkan Mydin pada Ramadan kali ini dan bila ia akan bermula?
Sempena menyambut bulan yang mulia nanti, Mydin memperkenalkan kempen Excited Raya dengan penjimatan hebat keperluan persiapan Ramadan dan Aidilfitri.
Selain itu kami juga menawarkan pelbagai peraduan dengan ganjaran hebat serta pelbagai aktiviti menarik. Sebagai contoh, kelengkapan raya seperti baju Melayu ditawarkan bermula RM30 hingga RM99.90 bagi dewasa manakala untuk kanak-kanak, bermula RM30 hingga RM69.90.
Kelengkapan lain seperti songkok pula ditawarkan pada harga bermula RM15, butang baju Melayu walaupun sudah tersedia dalam set baju, kita turut tawarkan pilihan tambahan bermula RM7.90.
Mydin juga menawarkan pilihan kurta bermula RM29.90 bagi saiz dewasa dan kanak-kanak dari RM20. Bagi samping pula, pelbagai jenis pilihan yang ditawarkan bermula RM19.90 hingga RM99.90.
Kepada golongan wanita pula, kami tawarkan pelbagai jenis kain dan rekaan baju kurung termasuk tudung bermula pada harga RM59.90 hingga RM199.90 bagi saiz dewasa manakala RM39.90 hingga RM129.90 untuk kanakkanak.
Walaupun harga yang ditawarkan antara yang terendah berbanding pasaran, kami masih mengekalkan fesyen dan warna berdasarkan permintaan pelanggan mengikut trend masa kini.
Namun apa yang mahu saya tekankan, ia bukanlah kerana jenama semata-mata tetapi apa yang boleh kami berikan semula kepada komuniti terutama pelanggan Mydin golongan B40 dan M40.
Difahamkan pada tahun ini Mydin akan meneruskan kolaborasi bersama Sinar Harian menganjurkan program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025. Boleh Datuk kongsikan apa kelainan yang dibawa pada tahun ini?
Program kerjasama ini berbentuk majlis buka puasa secara beramairamai yang turut diselitkan dengan aktiviti keagamaan seperti tazkirah sebelum berbuka.
Tahun ini kita laksanakan program tersebut di sembilan cawangan Mydin antaranya di Subang Jaya, Mutiara Rini (Johor Bahru), MITC Melaka, Seremban 2 (Negeri Sembilan), Meru (Ipoh) dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang).
Tidak lupa juga di Petra Jaya (Sarawak), Tunjong (Kelantan) dan Jengka (Pahang). Ini merupakan program dan aktiviti tahunan yang kami anjurkan dalam usaha memudahkan orang ramai yang tidak sempat untuk berbuka puasa di rumah, ada pilihan untuk iftar di pasar raya Mydin yang berhampiran mereka. Orang ramai boleh datang berbuka puasa, solat tarawih sambil membelibelah dan sebagainya.
Selain program berbuka puasa, apakah bentuk kerjasama lain yang Mydin laksanakan?
Mydin adakan kerjasama dengan rakan pembekal bagi mengumpul dana sebanyak RM300,000 menerusi Mydin Prihatin dan tahun ini, kira-kira 53 rakan pembekal yang menyokong inisiatif ini.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan cara setiap pembelian barangan daripada pembekal, 10 sen atau 20 sen akan disumbangkan kepada tabung berkenaan dan Insya- ALLAH tahun ini sasaran kita adalah RM300,000.
Wang itu nanti akan digunakan untuk menjalankan program berkaitan tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang mana kita bekerjasama dengan semua pembekal. Bagi syarikat terlibat, mereka dapat mengukuhkan jenama di pasaran Mydin.
Program ini sudah bermula sejak 1 Februari lalu dan berakhir pada 30 April depan dengan objektif dapat mengumpulkan dana untuk menyediakan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dari segi kotak makanan, sumbangan persiapan hari raya dan sebagainya mengikut permintaan.
Di samping itu, kerjasama ini juga melibatkan matching grant untuk memudahkan dua pihak. Kita juga mahu membawa anak-anak membelibelah untuk merasai kemeriahan menyambut Syawal.
Sebelum ini Mydin adakan tradisi pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan. Adakah tahun ini akan diteruskan program sedemikian?
Seperti biasa, Mydin meneruskan tradisi dengan mengagihkan sebanyak 45,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai di 33 cawangan Mydin terpilih di seluruh negara.
Kami bekerjasama dengan rakan-rakan pembekal yang menyokong usaha ini dengan menyumbang produk mereka. Jadi dapatlah kita berkongsi rasa bersama.
Sebenarnya, rakan pembekal Mydin juga tidak mahu melepaskan peluang melaksanakan CSR, jadi dengan cara kerjasama ini dapatlah mereka berbuat demikian kerana kadang-kadang, mereka ada allocation untuk program sedemikian, tetapi tidak tahu cara untuk melaksanakannya.
Mydin juga terkenal dengan bazar Ramadan dengan gerai-gerai dibuka di kawasan letak kenderaan atau dalam pasar raya supaya orang ramai dapat membeli juadah berbuka.
Dalam masa sama, kami dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang tidak berpeluang untuk membuka gerai di tapak bazar Ramadan disediakan kerajaan supaya dapat berurus niaga di kawasan pasar raya Mydin. Kita berharap mereka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Mengapa rakyat Malaysia perlu memilih Mydin sebagai one stop centre bagi barangan keperluan untuk persiapan menyambut Ramadan dan Syawal?
Apabila kita lihat syarikat pesaing contohnya A, B dan C, kesemuanya menawarkan barang yang sama. Semua menjual minuman coklat, ketupat, ayam tetapi bezanya di Mydin, kita tawarkan lebih banyak pilihan. Kalau nak beli serbuk cili yang secara terbuka (open spices), hanya Mydin yang ada.
Kalau nak beli baju raya, sejadah untuk sedekah, boleh beli secara pukal di Mydin. Jadi itu bezanya kalau pergi kedai A, B dan C, barang memang semua sama tetapi Mydin ada pilihan tambahan yang lebih banyak dan berlainan. Saya lihat itu kelebihan yang kami ada.
Selain itu pasar raya kami menawarkan harga yang kompetitif, tidak terlalu murah dan mahal. Semestinya kami perlu tawarkan harga sebegitu untuk jadi relevan dalam industri, kalau tidak, tak ramai pula orang masuk Mydin.
Sebagai pengguna, janganlah mengeluh jika harga barang naik tetapi lupa bila harga turun. Kadang-kadang harga turun bukan kami yang menolak harga, tetapi kos yang turun.
Ketika ini banyak harga barangan yang masih murah sebab pasaran dunia sedikit lemah. Syukur tahun ini tidak nampak banyak harga barang mahal terutama barangan asas. Jadi yang penting sekarang, kerajaan perlu memastikan barang keperluan rakyat sentiasa ada dan mencukupi untuk menampung keperluan harian.
Adakah Mydin ada menyediakan kemudahan membeli-belah secara dalam talian?
Mydin memang ada platform dalam talian dan pelanggan boleh dapatkan baju Melayu, baju kurung, butang baju, samping serta kelengkapan lain menerusi aplikasi itu. Jadi kedua-dua offline dan online kami wujud.
Suka untuk saya cadangkan, pelanggan tengok dahulu keadaan dan harga barang secara online dan pergi pasar raya Mydin untuk membeli. Jika online, kita dapat gambaran apa yang kita suka. Boleh buat perbandingan sebelum pergi beli.
Jadi tak perlu risau sekiranya tersilap saiz, warna pilihan dan sebagainya. Maka go online, buy offline untuk rasai sendiri kualiti yang ditawarkan.
Selain pakaian dan kelengkapan lain, sudah pasti pelbagai barangan untuk menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal tersedia di platform online termasuk biskut-biskut raya, perhiasan lampu dan seumpamanya.
Namun apa yang lebih penting ialah jadi pengguna bijak. Semua pasar raya akan buat promosi tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan sendiri, kita perlu membuat perbandingan harga.
Berbelanja mengikut kemampuan kewangan dan tidak perlu mengejar jenama-jenama mahal sedangkan lebih banyak pilihan serupa di luar sana.