Tindakan bercanggah Perlembagaan perlu dihentikan, cetus keresahan - Jakim

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan beberapa individu didakwa cuba menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam di kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan.

SHAH ALAM - Semua pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian beberapa individu didakwa cuba menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam dalam kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, mana-mana pihak jika terbukti melakukan perkara bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, perlu dibawa ke muka pengadilan untuk memberi pengajaran kepada semua.

Iklan
Iklan

"Sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlulah dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.

"Pihak Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan memainkan peranan dalam memantau dan menguruskan isu keagamaan dengan pendekatan yang adil serta harmoni demi kestabilan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, tular video memaparkan beberapa individu didakwa cuba menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam di kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan.

Ujar Sirajuddin, semua pihak digesa supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memelihara keharmonian negara.

Iklan

"Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti, mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya, yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam,” ujarnya.