AKTOR Fattah Amin menafikan dakwaan sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi, Amira Othman seperti yang tular sejak Ahad lalu.
Ujar pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin, 35, dia juga mengetahui khabar angin yang tersebut dan terkejut.
"Saya ada dengar tentang gosip itu dan saya terkejut kenapa tiba-tiba gosip tersebut boleh muncul. Saya ingin nafikan perkara itu.
"Saya tahu pun daripada kawan-kawan media yang maklumkan. Apabila saya baca, saya terkejut dan tergelak, tiba-tiba sahaja.
"Mungkin keluar dakwaan berikutan komen-komen netizen yang mendoakan saya. Untuk diri saya tidak betul,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Romantika Raya oleh Amber di Kuala Lumpur pada Isnin.
Bintang Khilaf Asmara itu memberitahu, sebaik berita berkenaan tersebar, pihak pengurusannya telah menghubungi pengurusan Amira bagi mendapatkan kepastian.
Malah Amira juga terkejut sebaik mengetahui berita tersebut.
Dalam masa sama, Fattah menegaskan hubungan yang terjalin dengan Amira kini tidak lebih atas dasar rakan kerja.
"Sudah tentu kami berdua sama-sama terkejut. Kalau gosip itu betul, sudah tentu kisah pertunangan itu tidak boleh disorokkan.
"Macam saya cakap sebelum ini, kami berdua hanya kawan. Tidak lebih hubungan urusan kerja sahaja. Saya dan Amira masih banyak bekerjasama dengan beberapa jenama, jadi kami sering berjumpa atas urusan kerja. Selain daripada itu, tidak lebih dari kawan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pertemuan antara Amira dan ibunya di majlis usrah, Fattah berkata, ia berlaku secara tidak sengaja dan kedua-duanya mendapat jemputan daripada kenalan yang sama.
Malah Fattah juga mengakui tidak kisah diusik oleh rakan seindustri dan menganggap ia hanya sekadar gurauan.
"Jumpa di majlis usrah itu kebetulan. Mereka dijemput oleh kenalan dan individu tersebut juga mengenali keluarga saya. Tiada yang aturkan untuk mereka hadir bersama.
"Begitu juga yang mengusik. Biasalah bergurau sesama rakan artis, sekadar menceriakan suasana. Saya sudah biasa dengan perkara itu.
"Yang baik-baik kita aminkan, yang tidak minta dijauhkan,” akhiri Fattah.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa Fattah telah bertunang dengan Amira pada Jumaat lalu dan bakal melangsungkan pernikahan pada Syawal nanti.
Sebelum itu, wujud dakwaan Fattah dan Amira bercinta, namun semua itu hanya sekadar sebahagian mempromosikan lagu terbaharu Amira iaitu Bila Nak Kahwin?