Harapan tipis, 8 pekerja masih terperangkap dalam terowong

Iklan
Anggota penyelamat sedang bertungkus-lumus mengeluarkan lapan pekerja terperangkap dalam terowong di negeri Telangana, India. - AFP

NEW DELHI - Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk mengeluarkan lapan pekerja yang masih terperangkap dalam terowong pengairan di selatan India selepas ia runtuh ketika kerja pembinaan hujung minggu lalu.

Insiden itu berlaku pada Sabtu di negeri Telangana selepas aliran air dan tanah secara tiba-tiba menyebabkan sebahagian terowong runtuh.

Iklan
Iklan

"Saya tidak boleh menjangkakan peluang mereka untuk terus hidup. Tetapi, peluang mereka tidak begitu baik,” kata Menteri Pelancongan Negeri, Jupally Krishna Rao kepada media pada Isnin.

Menurut Rao, seramai 42 pekerja sempat berenang menyelamatkan diri sejurus kejadian, namun usaha untuk berkomunikasi dengan mangsa yang terperangkap melalui runtuhan, tidak berjaya.

Iklan

Beliau memaklumkan, pasukan penyelamat sedang bekerja tanpa henti untuk mengeluarkan sisa runtuhan dan masih berbaki kira-kira 100 meter lagi yang perlu dibersihkan.

"Kami tidak akan berputus asa,” katanya.

Iklan

Kejadian seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa di India terutama di tapak pembinaan infrastruktur berskala besar.

Pada 2023, seramai 41 pekerja India berjaya diselamatkan selepas operasi selama 17 hari membantu mereka keluar dari terowong jalan raya di pergunungan Himalaya, Uttarakhand yang sebahagiannya runtuh. - AFP