KAJANG - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh suaminya dengan menikam mangsa di sebuah pangsapuri dekat sini, minggu lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Hew Pit Lee, 59, berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya, wanita itu hanya memandang ke bawah dan terpaksa dipanggil beberapa kali oleh jurubahasa, namun tidak memberikan sebarang respons.
Pit Lee didakwa membunuh Wong Chee Min, 61, di sebuah pangsapuri di Kajang, Semenyih di sini antara 10.30 hingga 11 pagi 16 Februari lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Majistret Fatin Dayana Jalil kemudiannya menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 17 Februari, media melaporkan seorang wanita menikam suaminya sehingga mati dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di kawasan Kajang akibat perselisihan faham. - Bernama