Harga bufet Ramadan di Negeri Sembilan meningkat hingga 10 peratus

Iklan
Secara keseluruhannya harga bufet Ramadan kebanyakan hotel di Negeri Sembilan antara RM60 hingga RM88. (Foto hiasan)

SEREMBAN - Harga bufet Ramadan di kebanyakan hotel Negeri Sembilan meningkat antara lima hingga 10 peratus pada tahun ini.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, kenaikan itu tidak dapat dielak berikutan peningkatan kos operasi termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,700.

Iklan
Iklan

"Kenaikan itu antara lima hingga 10 peratus dan secara keseluruhannya harga bufet Ramadan kebanyakan hotel di Negeri Sembilan antara RM60 hingga RM88.

"Semua orang tahu harga barang meningkat sekarang dan kami juga tidak terkecuali turut terkesan, ia ditambah pula pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,700 bermula tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Bagaimanapun katanya, kenaikan harga bufet itu masih dianggap berpatutan dan lebih murah berbanding harga yang ditawarkan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, sudah ada hotel yang telah pun menerima tempahan yang kebanyakannya daripada syarikat-syarikat korporat.

Iklan

"Tanpa adanya tawaran bufet Ramadan agak sukar untuk pengusaha hotel cari makan kerana tempahan mengadakan seminar atau kursus sepanjang bulan Ramadan agak berkurangan.

"Ada sesetengah hotel yang tempahan mereka lagi baik pada bulan Ramadan kerana permintaan bufet disediakan juga antara daya penariknya," katanya.

Tambahnya, pelanggan boleh mendapat harga lebih murah sekiranya mereka membuat pembelian awal pada harga promosi.

Haziz turut menyangkal persepsi sesetengah individu yang beranggapan berbuka puasa di hotel dengan harga bufet ditawarkan adalah satu pembaziran.

"Ini bukan pembaziran, tapi penghargaan kepada diri sendiri atau ada majikan meraikan pekerja mereka kerana Ramadan itu hanya setahun sekali. Ia pilihan kepada yang mampu.

"Tapi saya nak nasihatkan juga walaupun anda bayar untuk nikmati tanpa had semua hidangan disediakan tetapi janganlah membazir mengambil makanan dalam kuantiti banyak tetapi tidak dihabiskan," katanya.