RAUB - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menguji ketahanan fizikal dan mental dalam Program Mara Lasak di Ulu Dong di sini pada Sabtu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, program yang disertai seramai 570 peserta itu dianjurkan oleh Majlis Rekreasi Pahang bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sokongan kerajaan negeri.
Menurutnya, setiap peserta juga dikenakan syarat iaitu perlu membawa beg seberat lima kilogram bagi meningkatkan cabaran.
"Program ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan lasak dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.
"Kesemua peserta termasuk Tengku Hasanal sendiri terpaksa menempuh cabaran dengan berlari di denai berhutan, mendaki bukit bukau dan meredah sungai.
"Walaupun laluan sukar, baginda berjaya membuktikan kewibawaan apabila menamatkan larian dengan baik," katanya kepada pemberita.
Acara yang bermula jam 8.40 pagi itu melibatkan tiga kategori iaitu VIP, agensi kerajaan dan kampung di mana setiap pasukan disertai lapan lelaki dan dua wanita dengan enam pusat pemeriksaan yang perlu dilalui sebelum menamatkan larian.
"Walaupun ramai peserta mengatakan laluan dipilih amat lasak, masih ramai yang berjaya menamatkan larian.
"Lebih menarik terdapat peserta veteran tentera berusia lebih 60 tahun yang teruja menyertai larian bagi kategori VIP," ujarnya.
Dalam pada itu, Fadzli memberitahu program tersebut akan dianjurkan pada masa akan datang susulan sambutan hebat peserta.
"Pada permulaan hanya 50 penyertaan pasukan dibuka tetapi permintaan akhir sebanyak 57 pasukan dan ia sudah melebihi had.
"Banyak permintaan penyertaan pasukan dari luar Pahang tetapi kita terpaksa tolak, mungkin kita akan terima mereka pada penganjuran yang lebih besar pada masa akan datang," tambahnya.