SOALAN:
Ustaz, saya pernah terbaca sebahagian umat Islam mengerjakan umrah secara sendirian atau disebut umrah DIY (Do it yourself). Mana satu lebih baik antara umrah DIY dan umrah bersama mutawif?
JAWAPAN:
Jika seseorang itu yakin dengan ilmu yang dipelajarinya, mahir dari sudut hukum-hakamnya, maka tiada masalah baginya untuk ke Tanah Haram dan melakukan umrah DIY ini.
Mungkin dari sudut kosnya lebih murah, boleh bergerak bebas dan sebagainya.
Bagaimanapun, jika seseorang itu baru pertama kali hendak ke Makkah dan Madinah, saya nasihatkan agar mengerjakan umrah itu bersama mutawif terlebih dahulu.
Jika bersama mutawif, dia akan diterangkan mengenai selok-belok ibadah umrah selain menerangkan pelbagai cerita atau sirah yang berlaku di sana.
Pernah berlaku seorang jemaah wanita yang datang ke Masjidil Haram secara umrah DIY namun dia hanya duduk sahaja di restoran sebuah hotel.
Ketika ditanya, dia memberitahu tidak tahu untuk melaksanakan ibadah umrah dan tidak tahu untuk merujuk kepada siapa kerana sedang uzur syarie.
Jadi kepada mereka yang pertama kali datang ke Makkah dan Madinah, sebaik-baiknya laksanakan umrah bersama mutawif terlebih dahulu.
***DR SYED MOHD JEFFRI SYED JAAFAR merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya