JAWA TENGAH - Seorang remaja lelaki di Pati, Jawa Tengah telah ditahan polis pada Rabu selepas mencuri empat tandan pisang kerana ingin menyara adiknya.
Menurut media Tribunnews, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan) di daerah Tlogowungu.
Ketua Polis daerahnya, AKP Mujahid berkata, suspek yang dikenali sebagai APP, 17, ditangkap penduduk tempatan ketika sedang memikul pisang tanduk dengan menggunakan tongkat kayu.
"Pisang itu dicuri untuk diberi makan kepada adiknya yang hidup sebatang kara selepas ketiadaan ibu dan bapa mereka.
Jelas Mujahid, ketika kejadian ini diawal penangkapan oleh penduduk, APP telah diarak ke pejabat tempatan dengan keadaan bertelanjang.
"Pihak polis sedang berusaha untuk menjadi orang tengah untuk kes ini dengan menghimpunkan kedua-dua pihak.
"APP pula telah memohon maaf dan diarah untuk melaporkan diri ke balai polis selama tiga bulan,” ujarnya.
Sementara itu, jumlah kerugian pemilik pokok pisang berkenaan dianggarkan bernilai 250,000 rupiah (RM68).