GOMBAK – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kini genap sedekad menganjurkan World #QuranHour yang kian berkembang dari Malaysia ke seluruh dunia.
Acara perdana tahun ini akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac depan bersamaan 24 Ramadan 1446H.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World #QuranHour yang bermula di UIAM kini telah mencapai impak luar biasa dengan penyertaan meluas dari dalam dan luar negara.
"Dari Malaysia, kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal telah berkembang ke seluruh dunia. Semasa mula dianjurkan, kita mendapat sokongan UIAM dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
"Alumni UIAM di luar negara juga banyak membantu dalam penyebaran inisiatif ini. Kini, kita melihat peningkatan besar dengan pencapaian 7.72 bilion di media sosial dan 313 lokasi berdaftar di 76 negara di seluruh dunia,” katanya.
Menurut Marhaini, penganjuran World #QuranHour bukan sekadar program tahunan tetapi telah mencetuskan gelombang budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam masyarakat.
Selain itu, katanya, pelbagai organisasi kini telah menganjurkan program #QuranHour di tempat masing-masing seperti Jabatan Kerja Raya, Lembaga Hasil Dalam Negeri, SIRIM, dan Petronas. Ini menunjukkan budaya bersama al-Quran semakin diterima dan berkembang.
"Tahun ini, World #QuranHour membawa misi besar berpandukan Surah Al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah. Lima tonggak utama dalam surah ini diharap mampu menjadi pedoman dalam membina kualiti diri individu dan masyarakat Islam secara keseluruhan.
"Bagi menjayakan World #QuranHour kali ini, pelbagai pihak telah menyatakan sokongan, termasuk Astro Oasis yang telah mengesahkan sebagai penyiar rasmi. Taklimat media akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan lagi penglibatan pihak media dalam memperluaskan impak program ini.
"Selain itu, lebih 5,000 lokasi Quran Corner yang telah menerima sumbangan wakaf al-Quran sejak 2020 turut memainkan peranan dalam menyebarkan mesej al-Quran kepada pelbagai agensi kerajaan, swasta, dan institusi pendidikan,” ujarnya.
Marhaini turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menjayakan World #QuranHour 2025 dengan hadir secara fizikal di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM dan mendaftar sebagai penganjur World #QuranHour di lokasi masing-masing.
"Dengan anggaran kehadiran 5,000 peserta di lokasi perdana dan ribuan lagi di seluruh dunia, World #QuranHour tahun ini diharapkan menjadi satu gelombang transformasi yang lebih besar dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Dengan penyertaan pemimpin negara, badan beruniform seperti tentera dan polis, serta masyarakat awam, kita ingin menonjolkan barisan yang tersusun dan bersatu seperti yang ditekankan dalam Surah Al-Saff. Semoga kesatuan ini membawa kejayaan besar kepada umat Islam,” katanya.
Untuk menjadi peserta World #QuranHour di lokasi perdana atau penganjur World #QuranHour di lokasi masing-masing, sila daftar di https://quranhour.onpay.my/order/form/wqh2025.