ANDHRA PRADESH – Seorang wanita di India sanggup membunuh anak lelakinya sebelum mengerat mayat mangsa kepada lima bahagian selepas tidak tahan dengan kelakuan tidak senonoh lelaki itu yang cuba merogol ibu saudara sendiri.
Memetik laporan Hindustan Times, suspek, Lakshmi Devi, 57, kini dalam buruan pihak berkuasa selepas insiden yang berlaku pada 13 Februari lalu di daerah Prakasam, Andhra Pradesh.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah berkata, Devi bertindak membunuh anaknya, yang berusia 35 tahun, selepas lelaki itu didakwa menyerang dan cubaan merogol ibu saudaranya sendiri.
Difahamkan, suspek mendapatkan bantuan ahli keluarga untuk mengerat mayat mangsa sebelum memasukkan bahagian tubuh itu ke dalam tiga guni sebelum membuangnya ke dalam Terusan Nakalagandi di Kampung Cumbum.
Sumber tempatan melaporkan, mangsa yang bekerja sebagai pencuci dikatakan sering bertindak tidak senonoh terhadap ibu saudaranya, malah cuba merogolnya di Hyderabad dan Narasaraopeta.
"Tidak tahan dengan kelakuan sumbang anaknya, wanita itu bertindak membunuhnya,” kata ketua polis daerah.
Polis percaya Devi menggunakan kapak atau senjata tajam lain untuk membunuh anaknya dan pihaknya kini sedang giat mengesan suspek. - Agensi