Wanita hamil nyaris maut, pacuan empat roda dihempap kayu balak

Iklan
Kemalangan membabitkan pacuan empat roda dinaiki pasangan suami isteri yang rosak akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di Sungai Udin, Jalan Merotai-Kalabakan, Tawau.

TAWAU - Seorang wanita sarat hamil cedera selepas pacuan empat roda yang dinaikinya bersama suami dihempap kayu balak dalam kejadian di Sungai Udin, Jalan Merotai-Kalabakan, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, wanita berusia 31 tahun itu kini dirawat di Hospital Tawau manakala suaminya berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kejadian melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux dan sebuah lori membawa muatan kayu balak yang dipandu lelaki berusia 38 tahun.

"Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebatang kayu balak terjatuh dari lori yang datang dari arah bertentangan dan menghempap hadapan pacuan empat roda tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Champin berkata, akibat kejadian itu menyebabkan pacuan empat roda mengalami rosak teruk di bahagian hadapan.

"Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan manakala isterinya yang sedang sarat mengandung menerima rawatan di zon kuning Hospital Tawau.

Iklan

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.