15 rakyat Malaysia dijangka dihantar pulang dari Thailand minggu ini

Iklan
Kedutaan Malaysia memohon kepada pihak berkuasa Thailand supaya kesemua mangsa dibenarkan tinggal sementara di Kem Tentera Fort Vachiraprakan sebelum dihantar pulang. Foto Royal Thai Army

BANGKOK - Proses penyelarasan antara Kedutaan Malaysia di Bangkok dan pihak berkuasa Thailand bagi membawa pulang 15 rakyat Malaysia kini di peringkat akhir dan dijangka selesai minggu ini.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata, Wisma Putra dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memberi keutamaan tinggi terhadap perkara itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedutaan di Bangkok bekerjasama erat dengan Kedutaan Malaysia di Yangon serta pihak berkuasa Thailand bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar.

"Sebaik sahaja semua persiapan selesai, proses penghantaran pulang akan dilaksanakan minggu ini,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Iklan

Bong memberi jaminan bahawa kesemua 15 mangsa, termasuk tiga wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun berada dalam keadaan sihat.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedutaan telah berhubung dengan keluarga mangsa, manakala pihak berkuasa Thailand memastikan kebajikan mereka terjaga.

Iklan

Bagaimanapun, Kedutaan Malaysia memohon kepada pihak berkuasa Thailand supaya kesemua mangsa dibenarkan tinggal sementara di Kem Tentera Fort Vachiraprakan sebelum dihantar pulang, katanya.

Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa mangsa diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar di kawasan sempadan KK Park dan Shwe Kokko, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk proses penghantaran pulang. - Bernama