SELEPAS merampas kembali trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi terkenal, Ernie Zakri terus melakar kejayaan di persada muzik tempatan.
Selepas pelancaran album keduanya, Aura yang turut memuatkan single Masing Masing, Ernie terus mendominasi carta-carta muzik dengan sebuah karya balada digilai pendengar sekitar rantau Asia Tenggara.
Lagu berkenaan turut dijadikan satu daripada runut bunyi drama rantaian popular Indonesia berjudul Luka Cinta sehingga mencetus fenomena di peringkat Nusantara.
Di Malaysia, Masing Masing diiktiraf Industri Rakaman Malaysia Persatuan Kebangsaan Malaysia untuk Persekutuan Antarabangsa dari Industri Fonografik (INFPI) sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama bertahan dalam carta domestik RIM, mendominasi selama 27 minggu.
Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif ‘Nusantara’ mereka.
Dengan lebih 130 juta penstriman di Spotify, Masing Masing adalah lagu Melayu paling tertinggi distrim menerusi platform itu.
"Ernie meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis sulung Malaysia melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carta IFPI di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia, dan Singapura dengan Masing Masing.
"Kini, inisiatif untuk terus maju ke depan adalah dengan fokuskan kepada strategi Ernie iaitu menguatkan lagi hubungannya bersama peminat menerusi pengalaman menyantuni peminat setianya.
"Ia termasuk melancarkan lebih banyak lagu, tingkatkan interaksi dengan peminat di aneka platform, dan merancakkan lagi acara persembahan secara langsungnya. Itu adalah sebahagian kunci penting visi kami buat Ernie pada masa mendatang.
"Keterujaan terhadap industri muzik sekarang membuka pelbagai peluang untuk meneroka laluan berbeza buat muziknya, termasuk kolaborasi di peringkat global bersama artis antarabangsa dan pemuzik seluruh dunia," ujarnya dalam satu kenyataan.
Momentum Ernie terus kukuh pada 2025 ini apabila turut dilantik Badan Promosi Pelancongan Malaysia sebagai ikon rasmi kempen Lawat Malaysia 2026 dan menyanyikan lagu temanya berjudul ‘Surreal Experiences’, satu lagi pencapaian manis dalam kariernya.
Semakin meraih pelbagai pujian, sinar pesona bintang Ernie kian menyala kala ini, mengukuhkan lagi legasinya sebagai bakat luar biasa yang ada di Asia Tenggara.
Berkongsi pencapaian-pencapaian itu, Ernie berkata, dia cukup terharu dengan sokongan tanpa henti terhadap karier seninya.
"Kembara ini menjadi bukti kepada kasih sayang serta jalinan peminat terhadap muzik saya. Terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi," katanya.