Cubaan seludup ketulan ganja seberat 16.177kg gagal

Iklan
Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup ketulan ganja mampat seberat 16.177 kg bernilai RM50,184.70 selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di pangkalan haram Hasan Merah, Rantau Panjang pada Ahad. Foto PGA

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup ketulan ganja mampat seberat 16.177 kilogram (kg) bernilai RM50,184.70 selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di pangkalan haram Hasan Merah di sini pada Ahad.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa melakukan rondaan di kawasan itu anggota bertugas telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Semasa kejadian suspek sedang membawa tiga bungkusan. Menyedari kehadiran anggota PGA, suspek bertindak melarikan diri dan melepaskan bungkusan yang ada di tangannya.

"Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Iklan
Pemeriksaan ke atas bungkusan dibawa suspek menjumpai ketulan mampat ganja. Foto PGA

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bungkusan itu telah menjumpai ketulan mampat ganja.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mahu menghantar bekalan dadah ke sebuah kereta yang berada di kawasan pangkalan Hasan Merah.

Iklan

Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, suspek mengakui memperoleh bekalan dari Thailand dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.