Hentakan objek tumpul, lemas punca kematian Norshamira

Iklan
Hentakan di kepala oleh objek tumpul dan lemas dipercayai punca kematian Norshamira yang ditemukan maut di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis.

KUANTAN - Hentakan di kepala oleh objek tumpul dan lemas dipercayai punca kematian peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang ditemukan maut di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, hasil siasatan awal menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan di kepala oleh objek tumpul atau keras serta lemas.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada 13 Februari lalu dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Mangsa yang menguruskan urus niaga hantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang juga suspek kes pembunuhan kejam tersebut.

Iklan

Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan kelihatan baik sanggup membunuh isterinya.

Pada Sabtu, suspek berusia 53 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi.

Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.