CAMERON HIGHLANDS - Dua lelaki anggota 'Geng Kulup' yang aktif mencuri motosikal di daerah ini berjaya dicekup polis pada Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia awal 20-an itu ditahan secara berasingan di Simpang Pulai, Perak.
Menurutnya, penahanan suspek itu susulan laporan polis berkait kes curi dua motosikal jenis Honda EX5 di Kuala Terla, Kampung Raja di sini pada 12 Februari lalu.
"Hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada penemuan dua enjin dan rangka motosikal yang dilerai dan disorok di dalam semak di satu kawasan di Simpang Pulai.
"Semua barang kes telah dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk siasatan lanjut," katanya.
Azri berkata, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku mencuri motosikal bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.
"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan," ujarnya.
Tambah beliau, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Pihak kami sentiasa komited dalam usaha menangani dan membanteras jenayah yang boleh menganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman masyarakat," katanya.