PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap perubahan mesti bermula dari pimpinan tertinggi.
Menurutnya, perubahan yang dilakukan bukan hanya dengan pertuturan semata-mata, namun perlu didukung dengan tindakan.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan tonggak utama untuk mempertahankan tatakelola, sistem yang mempunyai integriti dan menyelamatkan bangsa serta negara dari keruntuhan berterusan.
"Tekad kerajaan adalah untuk membina sebuah negara wibawa yang bersih dan ke arah memperkasa SPRM menjadi badan bebas serta berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook sempena Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir menyertai majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.