BANYAK kerja rumah buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi mempersiapkan skuad hoki dalam dewan yang lebih mantap untuk bersaing di pentas tertinggi, Piala Dunia pada masa depan.
Penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, ia bagi memastikan Malaysia tidak tercicir untuk berada di pentas berprestij tersebut selain dapat terus memberi tentangan sengit kepada pasukan gergasi termasuk juara dunia, Jerman.
Beliau berkata, usaha lebih giat perlu dilakukan bagi mencungkil bakat baharu selain terus memperkasa pemain sedia ada dan mencari jurulatih berkualiti serta berpengalaman.
"Diharapkan MHC akan pertingkatkan lagi usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu di samping mempertingkatkan prestasi pemain sedia ada untuk terus layak di Piala Dunia.
"Mendapatkan jurulatih yang lebih baik dan berpengalaman untuk skuad ini menjadi cabaran terbesar buat MHC kerana ia melibatkan kos yang besar,” katanya kepada Sukan Sinar.
Malaysia pada Ahad lepas menamatkan saingan Piala Dunia di Croatia itu di kedudukan ke-11 selepas menumpaskan Trinidad & Tobago, 6-4 di Pusat Sukan Zatika, Porec.
Zakaria mencadangkan agar pencarian bakat bermula dari peringkat sekolah kerana ia mampu membantu membina kekuatan pemain seperti hoki padang.
"Kerjasama kerajaan negeri dan pihak swasta untuk membantu menyediakan kemudahan hoki dalam dewan juga sangat penting supaya sukan ini menjadi lebih popular.
"Merancakkan liga hoki dalam dewan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Ini kerana sukan ini telah berjaya membawa negara ke Piala Dunia seperti hoki padang, badminton, basikal trek, terjun dan skuasy,” katanya.
Di sebalik keputusan tersebut Zakaria menjelaskan bahawa para peminat wajar berbangga dengan pencapaian skuad negara layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak kejohanan itu dianjurkan pada 2003.
"Lebih berbangga lagi, Malaysia adalah pasukan ketiga Asia yang berjaya layak ke kejohanan itu selepas Iran dan Kazakhstan. Ini pencapaian yang sangat baik.
"Biasalah kali pertama mara ke pusingan akhir, kekurangan kita ialah pengalaman bersaing diperingkat ini,” katanya.
Malaysia memulakan saingan Kumpulan B kejohanan berkenaan dengan langkah kiri apabila dibelasah Jerman 4-12, tewas di tangan Argentina 2-5 dan tumpas kepada Iran 0-3.
Dalam aksi klasifikasi tempatan kesembilan hingga ke-12 pula, skuad negara kalah kepada Argentina 2-6.