PUTRAJAYA - Warga asing yang berniaga di bazar Ramadan akan berdepan dengan pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan ini dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Imigresen negeri.
"Pasukan ini akan menyusun semua jadual pemeriksaan untuk pelaksanaannya.
"Saya tetapkan pasukan penguatkuasaan untuk pergi ke segenap tempat, bukan fokus satu tempat sahaja terutama yang didapati ramai pekerja asing," katanya.
Beliau dengan diiringi Timbalannya, Jafri Embok Taha kemudian menuju ke sebuah syarikat komponen solar di Cyberjaya, Selangor, bagi simbolik Program Inspektorat Penguatkuasaan.
Mengulas mengenai Program Inspektorat Penguatkuasaan, Zakaria menjelaskan, ini merupakan satu dimensi baharu untuk penguatkuasaan JIM.
Katanya, sebelum ini pendekatan JIM lebih kepada serbuan premis dan lokasi yang dikenal pasti lebih awal berdasarkan risikan dan tinjauan sebelum menyusun strategi dengan pasukan operasi untuk tangkapan atas kesalahan imigresen.
"Hasilnya kita berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan kejayaan sebagainya," ujarnya.
Oleh itu, katanya lagi, JIM telah mencari pendekatan yang lebih bersifat kemanusiaan dengan kaedah pemeriksaan secara rutin.
"Jadi itu yang dinamakan inspektorat penguatkuasaan. Semasa pemeriksaan jika dikenal pasti berlaku kesalahan, kita akan tahan terus untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan biasa tetap diteruskan kerana ada lokasi yang tidak boleh dilakukan pemeriksaan secara rutin kerana memerlukan strategi serta operasi," katanya.
Jelasnya, JIM juga dalam langkah untuk menggunakan kamera badan pada anggota pasukan inspektorat ini dalam masa akan datang.