Wanita maut rempuh tembok batu dipercayai selepas dikejar suami

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kemalangan membabitkan pekerja kilang wanita yang maut selepas motosikal hilang kawalan rempuh tembok batu. (Gambar kecil: Ashari)

ALOR GAJAH – Pekerja kilang wanita yang maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan, di sini pada awal pagi Rabu dipercayai bertengkar dengan suaminya sebelum dikejar lelaki itu dengan motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan yang dilakukan mendapati terdapat maklumat yang mengatakan mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian.

Iklan
Iklan

"Ketika dalam perjalanan pulang itu, suami mangsa mengekorinya dari arah belakang menyebabkan mangsa bertindak memecut motosikal yang ditunggang untuk melarikan diri daripada lelaki itu namun terbabas.

"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan polis akan memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan selain mengesan saksi bebas," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Terdahulu Sinar Harian melaporkan mangsa maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tembok batu berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, Kampung Pengkalan.

Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, menyebabkan mangsa, Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.

Iklan

Ashari berkata, ketika kejadian, wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height.