JOHOR BAHRU - Seorang saksi sebuah video tular memaparkan seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang Selasa mendakwa cuba menghalang situasi berkenaan daripada bertambah teruk tetapi gagal.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah berkata, individu yang memegang pisau pemotong daging itu dikatakan sudah melempar senjata tersebut, namun mengambilnya semula selepas dicabar seorang lagi lelaki.
"Mereka gaduh berdua saja. Memang dengar bunyi bising dan ramai orang menyaksikan kejadian tersebut.
Sebelum ini, tular satu rakaman yang memaparkan seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang Selasa.
Terdapat video lain yang menunjukkan kesan darah di atas lantai dan orang ramai memenuhi lokasi kejadian yang merupakan laluan utama di tengah bandar yang menghubungkan ke laluan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Sementara itu, menurut seorang lagi saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Mohd, kejadian itu dikatakan berlaku dengan begitu pantas dan dia mampu berbuat apa-apa kerana terkejut.
"Saya sangat terkejut dan tidak boleh berfikir apa yang patut saya buat. Tergamam dan mampu melihat sahaja dari atas.
"Kejadian berlaku kira-kira 10 minit macam itu kalau ikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi memberitahu siasatan lanjut mengenai motif kes masih dijalankan.