JEMPOL - Terhidu bau asap yang kuat menyelamatkan seorang pelajar tingkatan empat daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di Felda Serting Hilir 3 di sini, pada Isnin.
Kejadian lebih kurang jam 2.30 petang itu menyebabkan rumah yang didiami ibu tunggal Salwa Ab Hamid, 38, bersama dua anaknya, Nur Syafiyah Zaimy, 16, dan Nurhan Zaimy, 15, hangus termasuk kelengkapan sekolah dan baju raya.
Menceritakan kembali detik cemas itu, Nur Syafiyah berkata, ketika itu hanya dia berada di rumah manakala ibu dan adiknya keluar ke Pekan Bahau untuk membeli barang.
"Pada mulanya tidak fikir kebakaran tetapi lama-lama bau asap semakin kuat. Saya pergi ke hadapan rumah tengok api sudah marak.
"Saya hanya sempat selamatkan empat ekor anak kucing dalam sangkar dengan telefon bimbit dan keluar melalui pintu dapur," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu menurut Salwa, mereka tiga beranak baru setahun mendiami rumah pusaka Allahyarham ibu dan ayahnya itu yang sebelum ini diduduki kakak sulungnya.
"Perancangan saya memang hendak siapkan baju raya awal sebab hendak fokus perbelanjaan lain termasuk kelengkapan sekolah tetapi Allah lebih mengetahuinya semuanya. Saya terima dengan hati yang terbuka, Allah ada perancangan lebih baik untuk kami," katanya.
Sementara itu Ketua Peneroka Felda Serting Hilir 3, Mohd Yazid Ismail berkata, ketika ini tiga beranak itu ditempatkan sementara di rumah kakitangan Felda Serting Hilir 2&3.
"Kepimpinan setempat dan pengurusan Felda telah mengambil maklum perkara ini malah akan ada tindakan serta bantuan susulan untuk mereka bagi meringankan beban," katanya.