10 bangkai kucing dibuang oleh SPCA - JPV

Iklan
Bangkai kucing dibuang dalam tong sampah berdekatan bangunan SPCA pada 5 Februari lalu. (Gambar kecil: Dr Saira Banu)

GEORGE TOWN - Bangkai kucing yang ditemui dalam sebuah tong sampah di Jelutong pada 5 Februari lalu disahkan dibuang Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, hasil soal siasat terhadap pemilik pusat perlindungan haiwan itu mendapati, mereka mengaku membuang bangkai haiwan berkenaan ke dalam tong sampah.

Iklan
Iklan

"Sebaik menerima laporan mengenai penemuan bangkai haiwan tersebut, pegawai kita segera ke lokasi kejadian pada tarikh sama aduan diterima iaitu jam 10 pagi, 7 Februari lalu.

"Pemeriksaan dibuat di dalam tong sampah berwarna oren mendapati tiada bangkai kucing ditemui. Jabatan menghubungi pengadu dan dimaklumkan 10 bangkai kucing hilang dan tidak ditemukan selepas pulang daripada membuat laporan polis pada 5 Februari lalu.

Iklan

"Bagaimanapun, selepas soal siasat dijalankan terhadap pemilik SPCA, mereka mengakui kucing dalam plastik tersebut sudah mati dan dibuang dengan alasan tidak mempunyai tempat pelupusan khas untuk penanaman atau pembakaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular video mengenai perkara tersebut di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Iklan

Kebanyakkan warganet menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka terhadap pelaku kepada haiwan tersebut.

Tambah Saira Banu, pemeriksaan lanjut turut dijalankan dalam premis SPCA dan mendapati tiada bangkai kucing atau haiwan lain dijumpai.

"Kita juga tidak menemui sebarang unsur penganiayaan dan kezaliman terhadap kucing dan haiwan lain untuk siasatan lanjut. Pemantauan lanjut pada semalam juga tidak menemukan bangkai haiwan.

"Kita tidak dapat mengesahkan punca kematian kerana tiada bangkai kucing atau haiwan lain dijumpai bagi tujuan bedah siasat. Bagaimanapun, siasatan akan terus dijalankan JPV Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat lanjut," jelasnya.

Saira Banu berkata, peringatan telah diberikan kepada pengurusan SPCA supaya menguruskan haiwan mati akibat penyakit atau punca lain dengan cara sesuai.

"Kita memandang serius perkara ini dan peringatan juga diberikan kepada pihak pengurusan SPCA," katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kematian beberapa ekor kucing yang bangkainya dibuang ke dalam tong sampah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu jam 5.20 petang pada Khamis.

Menurutnya, rakaman video berdurasi 30 saat itu menunjukkan satu tong sampah berhampiran bangunan SPCA yang di dalamnya terdapat beberapa bangkai kucing.

"Kes ini telah diklasifikasikan sebagai ‘rujuk kepada agensi lain’ khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya.