KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan bekalan santan mencukupi sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri pada hujung Mac depan.
Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, hasil intervensi pihaknya membolehkan bekalan santan diagihkan kepada pembekal dan usahawan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menerima 30,000 kilogram kelapa sejak akhir Januari lalu sebagai persediaan menyambut Ramadan.
"Pusat operasi kita sudah menerima kelapa dalam jumlah besar dan akan diagihkan kepada pemborong atau pengusaha dikenal pasti.
"Kita faham masalah kelapa sangat kritikal menjelang Ramadan dan musim perayaan, namun kini kita sedang berusaha menstabilkan bekalan bahan mentah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Famazara Agro Educare sebagai Pusat Rujukan Pertanian Untuk Kanak-Kanak Istimewa pada Ahad.
Menurut Wan Faizatul, setakat ini harga santan dijual kepada pemborong antara RM2.80 hingga RM3 sekilogram.
Bagaimanapun katanya, tiada jaminan mengenai harga berkenaan kekal sehingga musim perayaan.
Jelasnya, jika ada pihak memerlukan bekalan boleh berhubung dengan pusat operasi FAMA kerana mendapat bekalan secara berkala setiap minggu.
Katanya, FAMA juga sedang menguruskan permit mengimport pembekalan kelapa supaya dapat diagihkan kepada pengguna.