SHAH ALAM - Seorang lelaki maut akibat tersepit setelah kenderaan dipandunya melanggar pokok dalam kemalangan berdekatan stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 8.35 pagi.
Beliau berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 8.47 pagi.
"Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Satria Neo dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok di lokasi terbabit.
"Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an tersepit di bahagian pemandu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, anggota bomba bertugas kemudiannya menjalankan untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.