AKTOR Zamarul Hisham selamat dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya semalam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Port Dickson pada awal pagi Khamis.
Berita itu dikongsikan sendiri isterinya yang juga pelakon serta penyanyi, Diana Rafar menerusi hantaran di akaun media sosialnya.
Menurut Diana, suaminya itu masih dipantau doktor dan pada jam 4 petang tadi, aktor berusia 54 tahun itu menjalani prosedur diagnostik angiogram untuk mengesan penyempitan atau penyumbatan pada jantung.
"Masya-ALLAH pengalaman yang baru, Alhamdulillah ala kullihal. Benda yang menakutkan tetapi saya mendapat pengalaman yang baharu.
"Saya mohon doa semua, abang (Zamarul) sedang menjalani angiogram.
"Kelmarin ketika dirawat di Hospital Port Dickson, memang dia didiagnosis sebagai serangan jantung. Moga-moga hari ini, selepas angiogram dapat periksa sama ada saluran tersumbat atau tidak.
"Mana tahu dengan izin ALLAH berkat doa orang ramai memang tiada saluran tersumbat. Mohon doakan ya," ujar Diana.
Diana dalam hantaran lain berkongsi maklumat terkini Zamarul yang masih ditempatkan di ICU, tetapi pelakon Potret Mistik dan Blok 404 itu berada dalam keadaan stabil.
"Saya hendak ucapkan ribuan dan jutaan terima kasih atas segala doa, kata semangat, dan mesej diterima tak sempat dibaca lagi. Maaf banyak-banyak Diana memang sibuk menguruskan abang selama dua hari ini.
"Semalam pindahkan abang dari ICU Hospital Port Dickson ke hospital yang berdekatan dengan rumah.
"Buat masa ni abang masih dalam ICU dan dalam keadaan stabil, doktor masih dipantau abang supaya mendapat rehat yang secukupnya sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Diana juga meluahkan terkejut dan sedih dengan apa yang terjadi. Lebih-lebih lagi mengenali suaminya yang sentiasa aktif.
"Sedih sangat sebab tidak pernah tengok dia sakit. Selama ini Zamarul seorang yang cergas, kuat, happy dan rajin tidak pandai duduk diam.
"Semua benda dia nak buat sendiri, tiba tengok abang kena macam ni memang tak duga betul! Memang dia terlalu penat sangat, tidur pun tidak cukup.
"Sedih baca komen dan terharu dengan rakyat Malaysia yang ambil berat. ALLAH sahaja yang dapat balas jasa baik kalian semua," luah Diana lagi.
Terdahulu, Zamarul dikejarkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, jam 2 pagi Khamis susulan sesak nafas.
Diana kebetulan berada di sana menemani Zamarul dan anak-anak sempat mengiringi suaminya ke hospital.