PADANG BESAR – Isu baki kontena tertunggak di Terminal Kontena Padang Besar, di sini, dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada Sabtu.
Menurut satu kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Jumaat, pengendali Terminal Kontena Padang Besar, Multimodal Freight Sdn Bhd menyedari berlaku sedikit kelewatan dalam menyelesaikan baki kontena tertunggak di terminal susulan peningkatan mendadak penghantaran selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Iklan
Iklan
"Kelewatan itu juga berpunca daripada peralihan operator operasi pengisian dan penurunan kontena.
"Peralihan ini dilakukan kerana operator terdahulu tidak dapat menyediakan mesin-mesin pengangkat kontena yang mencukupi,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan, pengendalinya telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan peralatan yang mencukupi, dan isu baki kontena tertunggak dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya Sabtu ini.
Sebelum ini, dilaporkan sekumpulan pekerja kontena melancarkan mogok pada Khamis dengan tidak hadir bekerja seperti biasa.
Berdasarkan gambar yang tular, kelihatan kontena dari Thailand tersadai berhampiran landasan KTMB.