KUALA LUMPUR - Sembilan buah motosikal Yamaha RX-Z antara 51 kenderaan yang musnah terbakar dalam kejadian di deretan premis di Bandar Baru Sentul, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.10 pagi.
Katanya, premis yang terlibat ialah bengkel dan stor simpanan motosikal, kedai rokok elektronik (vape), kedai makan dan bilik sewa.
"Anggaran 50 buah motosikal pelbagai jenis seperti Yamaha RX-Z, Yamaha Y15ZR dan Yamaha 125ZR selain sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo telah terbakar.
"Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan turut dibantu BBP Setapak, Titiwangsa, Jalan Hang Tuah dan Sri Hartamas telah dikejarkan ke lokasi.
Jelasnya, kebakaran berkeluasan 50x50 kps dengan peratusan kemusnahan 100 peratus.
"Bagaimanapun kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Berdasarkan kenyataan di Facebook rasmi RXZ Members - Official, pemilik bengkel telah menerima penghantaran motosikal RX-Z daripada pelanggan sempena persiapan awal ke program di Kuala Terengganu, Ogos depan.