APM perkasa PASPA, mahu capai pengiktirafan Insarag

Iklan
Aminurrahim (kanan) memberi tabik hormat kepada petugas PASPA pada majlis penutup Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025 di Ibu Pejabat APM di Kajang, Selangor pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN/HALIM ABDUL WAHID.

KAJANG - Usaha pemantapan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) terus dipertingkatkan bagi mencapai tahap pengiktirafan Proses Akreditasi Kebangsaan yang diiktiraf Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag).

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, langkah itu penting untuk membentuk sebuah pasukan elit yang mempunyai tahap kemahiran tinggi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia bukan setakat setiap anggota PASPA memiliki kemahiran yang khusus dan pelbagai, tetapi dalam masa sama mempunyai stamina, kesihatan, minda, jiwa serta semangat juang besar.

Kata beliau, semua perkara itu menjadi elemen pelengkap kepada setiap pegawai dan anggota pasukan elit tersebut.

Iklan

"PASPA ditubuhkan pada 15 Ogos 2008 bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat secara sistematik, kemas serta teratur di dalam sesuatu bencana besar.

"Dalam meningkatkan dan mengekalkan standard sebagai pasukan khas menyelamat di Malaysia, usaha berterusan perlu dilaksanakan secara konsisten.

Iklan

"Program latihan fizikal yang dilakukan secara individu dan berkumpulan perlu diperkemaskan dari semasa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025 di Ibu Pejabat APM, di sini.

Aminurrahim berkata, seramai 131 orang pegawai dan anggota PASPA di seluruh negara menyertai program latihan kecergasan tersebut.

Jelas beliau, Individual Physical Test and Endurance Traning adalah program latihan fizikal dilakukan secara individu dan berkumpulan.

Menurut beliau, kesemua peserta latihan perlu menjalani ini latihan yang dinamik bagi menguji kecergasan diri.

Katanya, peserta perlu berlari membawa beban seberat 45 kilogram, repelling dari jarak 80 meter cerunan, ujian larian 5 kilometer dalam masa 22 minit (lelaki) dan 26 minit (wanita).

Selain itu menurutnya, peserta juga perlu menjalani ujian halangan menaiki tembok setinggi empat meter, plyometrics serta pelbagai jenis latihan yang menggunakan peralatan operasi.

"Latihan ini banyak menggunakan fizikal yang mana ia digunakan untuk meningkatkan kecekapan kardiovaskular, meningkatkan kekuatan dan dalam masa yang sama berkongsi kepakaran atau kemahiran.

"Latihan ini diadakan bagi mempersiapkan anggota melalui kekuatan mental dan fizikal tahap kecergasan pegawai serta anggota PASPA berada di tahap tertinggi sebagai persediaan cabaran menyelamat di kawasan berisiko tinggi," ujarnya.

Melalui latihan itu, kata beliau, persediaan akan menjadi lebih mantap kerana perancangan yang rapi serta latihan secara berterusan.

Selain itu tambahnya, objektif latihan itu juga sebagai pengukur tahap kesihatan individu agar mencapai piawaian yang ditetapkan sebagai pasukan khas dan platform pemilihan peserta ke pertandingan Singapore Global Firefighters And Paramedics Challenge (SGFPC 2025).