KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter yang terhempas di Bentong pada Khamis.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat.
"Terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia petugas Jabatan Kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat ini.
"Semoga segala urusan dalam operasi ini dipermudahkan ALLAH SWT," katanya pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang jurutera warga Indonesia maut akibat terkena bilah kipas helikopter yang terbalik sebelum terbakar ketika melakukan pendaratan di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu mangsa, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam nahas itu, juruterbang tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.
"Helikopter jenis Bell 206L4 yang terbakar musnah sepenuhnya," katanya.