SUKAN tempur muay thai terus berkembang pesat di Kelantan apabila Duo International Muaythai Fight 2025 di Bachok bakal menyajikan pertarungan sengit atlet tempatan dan luar negara pada Sabtu ini.
Saingan yang bakal menampilkan lebih 12 petarung itu dianjurkan bersama oleh Duo Sport dan Persatuan Muaythai Negeri Kelantan.
Pengerusi penganjur, Farid Izuan Pauzi berkata, kejohanan itu bertujuan mengangkat sukan muay thai ke peringkat antarabangsa dan menjadikan Kelantan sebagai pusat utama perkembangan seni bela diri di Malaysia.
"Kami juga berharap acara ini dapat membuka peluang kepada atlet tempatan untuk memperoleh pendedahan bertaraf dunia dan seterusnya mengukuhkan masa depan sukan ini di Malaysia.
"Lebih 12 petarung terkemuka dari Malaysia dan luar negara akan menyertai kejohanan ini termasuk Jordan Boy, Izat Zaki, Paid Turbo dan Putra JTT.
"Mereka dipilih berdasarkan prestasi cemerlang dan reputasi dalam dunia muay thai. Pertandingan ini akan menampilkan pelbagai kategori kelas berat bagi memastikan keadilan dan kepelbagaian dalam setiap pertarungan,” katanya.
Saingan yang dijadual bermula pada jam 9 malam itu akan diadakan di Padang KRT Beris Kubur Besar, Bachok.
Farid Izuan menjelaskan, selain pertarungan muay thai pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan kebudayaan dan turut berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM70,000 dengan pembelian baju edisi khas.
"Persembahan dikir barat tradisional Kelantan bakal menambah kemeriahan acara ini.
"Jangan lepaskan peluang menyaksikan pertarungan epik ini dan menyokong perkembangan budaya serta ekonomi setempat,” katanya.