PORT DICKSON -Seekor buaya yang berkeliaran di Pantai Cermin, di sini sejak Sabtu lalu disyaki buaya yang sesat dari Sungai Linggi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, reptilia itu kemungkinan sakit menyebabkan ia tidak dapat pulang ke habitat asalnya.
"Buaya ini spesies reptilia yang ada itinerari dan sepatutnya selepas cari makanan, ia akan patah semula pulang ke sarang.
"Kemungkinan buaya ini tak sihat. Tapi kita hanya akan ketahui selepas haiwan ini berjaya ditangkap," katanya ditemui pemberita selepas melihat pemasangan perangkap buaya di Pantai Cermin, di sini pada Selasa.
Menurutnya, aduan berhubung kehadiran buaya di pantai terbabit adalah kali pertama diterima.
Bagaimanapun katanya, pernah bangkai seekor buaya tembaga ditemukan di situ pada tiga tahun lalu, namun setakat ini tidak pernah ada laporan reptilia terbabit mengancam pengunjung.
"Kita tak letak papan tanda kehadiran buaya di Pantai Cermin ini kerana sebelum ini di situ bukanlah kawasan ia berkeliaran.
"Kalau dalam tempoh setahun, satu saja aduan diterima. Jadi kita rasa, ini bukan tempatnya. Mungkin lebih kepada sesat dan tak tahu jalan pulang," jelasnya.
Sementara itu ujarnya, seramai 12 kakitangan Perhilitan telah ditugaskan memasang perangkap di lokasi terbabit dengan diletakkan umpan seekor ayam.
Katanya, pegawai jabatan itu akan ditugaskan membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memaklumkan kepada Perhilitan.
"Kita pun ada tinjau kawasan hutan paya bakau di situ tetapi tidak menjumpai apa-apa kesan (jejak buaya).
"Saya risau ia sesat kerana pantai ini tidak jauh dengan Sungai Linggi iaitu kira-kira 10 kilometer. Sungai Linggi itu memang ada buaya," ulasnya.
Sebelum ini media melaporkan, Perhilitan menerima aduan awam berkenaan seekor buaya yang kelihatan di kawasan Monkey Bay, Pantai Cermin jam 4.30 petang pada 1 Februari lalu.
Beberapa petugas jabatan telah ke lokasi dan siasatan awal mendapati terdapat seekor buaya terapung di laut dengan panjang anggaran dua meter.
Hasil siasatan awal mendapati buaya tersebut bergerak sejauh 50 meter dan sentiasa ulang-alik di kawasan tersebut dan jika air surut ia akan nampak lebih jelas.