SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyerahkan komputer riba dan data internet kepada 373 ketua kampung di sembilan daerah di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyerahan itu selari dengan hasrat kerajaan negeri mendukung aspirasi negara menuju kemajuan digital.
Menurutnya, langkah itu juga dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan teknologi.
"Insya-ALLAH, kerajaan negeri Selangor komited dalam mempersiap pemimpin di peringkat akar umbi menghadapi perubahan digitalisasi.
"Ia agar mereka dapat membimbing penduduk setempat dan membela kebajikan serta kesejahteraan rakyat di seluruh Selangor," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.
Penyerahan itu disampaikan pada Majlis Amanat Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kampung Tradisi Peringkat Negeri Selangor pada Ahad.
Lebih 700 JPKK hadir pada majlis itu yang berlangsung di Banquet Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz.
Pada majlis sama, Amirudin turut menyerahkan vest kepada Skuad Bakti Desa.
Skuad itu merupakan pasukan sukarelawan peringkat komuniti yang berperanan menyampaikan bantuan kepada masyarakat setempat.