Jangan terpedaya pautan palsu bantuan Bingkas - Exco Selangor

Iklan
Satu akaun Facebook dikesan menyebar pautan palsu bantuan Bingkas bagi memperdaya orang ramai.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengesan satu akaun Facebook menyebarkan pautan palsu berkenaan pautan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, beliau menasihati masyarakat peka dengan taktik penipuan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengendali akaun tersebut diminta menurunkan hantaran itu dan menghentikan tindakan memperdaya mangsa.

"Saya memohon pihak yang tidak bertanggungjawab ini menurunkan hantaran tersebut dan bertaubat.

Iklan

"Anda bukan sahaja memangsakan rakyat Selangor, tetapi anda memangsakan golongan yang memerlukan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Akaun Facebook yang dibuka atas nama PINS - Pusat Informasi Negeri Selangor itu memaparkan hebahan bahawa kerajaan negeri menyediakan RM3,600 setahun atau RM300 sebulan di bawah program Bingkas berserta pautan permohonan tersebut.

Iklan

Anfaal yang juga ADUN Taman Templer mengingatkan pemohon untuk merujuk saluran rasmi berkenaan program tersebut menerusi laman-laman rasmi kerajaan negeri.

"Maklumat juga boleh didapati melalui akaun rasmi saya, Media Selangor atau aplikasi SELangkah untuk memastikan kesahihan fakta," katanya.

Bingkas merupakan antara program bantuan kewangan terbesar dilaksanakan oleh kerajaan Selangor sejak 2018 yang menawarkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan.

"Ia untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan.

Permohonan dibuka kepada warga Malaysia, pengundi berdaftar di Selangor, lahir atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun.

Selain itu, kelayakan terdiri keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya tanggungan dua orang berusia 18 tahun ke bawah.